Isyarat yang telah diterjemahkan oleh sebahagian besar kaum Cina semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lepas, cukup jelas. Tanpa mengira latar ideologi politik, latar sosial dan latar ekonomi, mereka seolah-olah memberikan gambaran bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO telah mengabaikan kebajikan, keperluan dan kehendak mereka selama ini. Ironinya sokongan padu ini berlangsung semasa perpecahan Melayu berada pada tahap kritikal.
Sebahagian kecil kaum Cina masih setia dengan BN walaupun api perkauman ditiup kencang oleh DAP. Sebagian kecil kaum Cina masih utuh dengan asas pembinaan negara ini berlandaskan kontrak sosial sejak merdeka. Sebahagian kecil kaum Cina masih mengenang budi kerajaan. Budi kerajaan yang menyediakan situasi yang kondusif untuk mereka mengumpul kekayaan. Terima kasih.
Selalunya apabila individu Melayu mengungkitkan hal sebegini, dianggap rasis. Percayalah orang Melayu adalah bangsa yang amat bertimbang rasa dan bertolak ansur. Kami tidak pernah mempersoalkan kenapa dan bagaimana kaum Cina yang menguasai ekonomi. Namun kami akan melenting apabila hak-hak kami yang termaktub di dalam Perlembagaan, dipersoalkan. Rasiskah individu Melayu bila mempertahankan apa yang tidak sepatutnya diusik?
Manifesto DAP yang secara terang-terangan ingin mengubah frasa-frasa tertentu yang sensitif dalam Perlembagaan (sekiranya berkuasa), amat mengguris hati individu Melayu. Sokongan sebahagian besar kaum Cina terhadap DAP, bermaksud menyokong hasrat itu. Itu tambah melukakan hati kami. Keluhan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman adalah manifestasi kedukaan pejuang Melayu yang berkhidmat untuk semua, tanpa mengira kaum dan agama semasa mentadbir negeri.
Garapan ini tidak bermaksud menghangat api polarisasi. Lumrah, apabila satu pihak menghenyak, maka pihak sebelah lagi bangun. Bangun tidak bermaksud menyinsing lengan. Bangun untuk menjaga kehormatan dan maruah. Rasanya tidak salah.
Malangya, kalaupun bangun, Melayu sekarang tempang. Keretakan yang sebenarnya dibina dan dipasak kemas ke dalam minda penyokong. Aduhai bangsaku, di saat kita galak bertelagah, mereka senyum dengan megah. Di kala kita ligat bertikam lidah, mereka bertepuk tak sudah.
Sebagai individu yang cintakan keharmonian dan perpaduan, saya dengan rendah diri merayu dan memohon barisan kepimpinan UMNO dan Pas berdiri dalam saf sama. Cukup-cukuplah kita berbalah. Cukup-cukuplah kita saling bercakaran.
Perjuangan Pas yang ingin memartabatkan Islam sebenarnya selari dengan aspirasi yang sebahagiannya telah dilaksana oleh UMNO. Kalau perlu dibaiki, datanglah baiki dari dalam, bukannya menghentam dari luar. Percayalah memang ada cahaya di hujung terowong bagi harapan ini. Percayalah hasrat Pas mustahil tercapai walau telah cuba berkongsi bantal yang sama dengan DAP. Ingatlah bahawa kita akan ditanya nanti tentang tugas ini di hadapan Allah SWT.
Biarlah PKR bersama DAP yang rakyat umum maklum akan matlamat mereka hampir selari. Saya dapat rasakan UMNO akan sentiasa berlapang dada menerima Pas. Sudah-sudahlah mengenang sejarah lepas. Datanglah wahai sahabat seagama dan sebangsa.
HAFIZI SHAFIIN
Machang, Kelantan
http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130508/fo_01/Rasiskah-Melayu-pertahan-hak
No comments:
Post a Comment