Thursday 25 October 2012

Pembangkang khianati negara

Sejarah menyatakann bahawa salah satu faktor tanah melayu dijajah
adalah kelemahan dari segi senjata.

SEMPORNA 23 Okt. - Parti pembangkang dibidas kerana sanggup menjadi petualang dan pengkhianat kepada negara sendiri dengan bertindak sebagai alat kepada pihak tertentu untuk menghancurkan negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan mereka untuk membawa masuk dua peguam Perancis yang ditugaskan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene adalah bukti jelas niat jahat mereka.

Tegas beliau, tindakan itu bukannya perkara yang boleh dipandang ringan kerana membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.

"Kita adalah negara berdaulat yang mempunyai peraturan dan lunas undang-undang yang perlu dipatuhi. Mereka akan gunakan apa sahaja cara untuk mencemarkan nama baik negara ini, ini semua berpunca kepada kepentingan agenda politik mereka semata-mata.

"Kapal selam adalah aset persenjataan negara untuk meningkatkan tahap keselamatan, sepatutnya mereka perlu bersama-sama memberi sokongan padu, bukannya menghancurkan negara ini," katanya.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Selamat di sini hari ini.

Tegas beliau, segala dakwaan dan tohmahan pembangkang terhadap isu kapal selam itu ternyata tidak benar malah penipuan itu sengaja digembar-gemburkan menjelang pilihan raya umum untuk mendapat ihsan rakyat.

Sementara itu, Shafie berkata, kerajaan akan menyelesaikan masalah penempatan mangsa-mangsa kebakaran membabitkan 198 buah keluarga di Kampung Selamat di sini yang musnah dijilat api dalam kebakaran Khamis lalu.

Beliau berkata, majoriti mereka merupakan pelarian perang Filipina yang diwartakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) yang telah menetap di situ sejak 1970-an lagi.

Bagaimanapun menurut beliau, terdapat juga penduduk tempatan yang terlibat.

"Bagi penduduk berdaftar dengan UNCHR, kita akan merujuk permasalahan mereka dengan Majlis Keselamatan Negara, manakala penduduk tempatan akan dirujuk dengan pejabat daerah untuk tindakan susulan termasuk memberikan bantuan yang sewajarnya," katanya.

utusan.com.my/utusan/Politik/20121024/po_01/Pembangkang-khianati-negara