Tuesday 31 December 2013

Guan Eng tukar Camry kepada Mercedes


PULAU PINANG 31 Dis. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini akan menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218.

Pengumuman itu dibuat tidak sampai tiga bulan selepas kerajaan DAP Pulau Pinang menukar kereta rasmi kepada Toyota Camry 2.5.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait berkata, kereta itu bagaimanapun dibeli dengan harga istimewa iaitu RM298,263.75.

“Di bawah kelayakan Ketua Menteri, beliau memang berhak menggunakan dua buah kereta Mercedes-Benz S400 dan Mercedes-Benz S300 tetapi kini beliau hanya menggunakan sebuah kereta Toyota Camry 2.5.

“Dengan pertukaran ini, Toyota Camry 2.5 yang digunakan Ketua Menteri akan diberi kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Maktar Shapee," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, Guan Eng dan ahli-ahli Exco kerajaan negeri enggan membeli 15 buah kereta Mercedes memandangkan pembayaran cukai yang melebihi kos kereta adalah terlalu tinggi.

Katanya, pembekal kereta Mercedes pada masa itu juga tidak berani mengeluarkan surat jaminan untuk mengambil balik semua kereta sekiranya pengecualian cukai tidak diperoleh.

Lantaran itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan membeli 15 buah kereta Toyota Camry 2.5 yang tidak dikenakan cukai dan kenderaan itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada 31 Oktober lalu.

“Bagaimanapun pada 20 November lalu, pembekal kereta Mercedes berkenaan telah memberi pengesahan untuk menawarkan sebuah kereta Mercedes-Benz S300L dengan harga RM298,263.75 selepas dipotong cukai.

“Turut diberikan ialah diskaun khas sebanyak RM100,000 termasuk jaminan bahawa kerajaan negeri boleh mengembalikan kereta berkenaan sekiranya pengecualian cukai tidak diperoleh," katanya.

Mokhtar berkata, setelah memperolehi butiran itu, mesyuarat Exco kemudiannya memutuskan sebulat suara untuk membeli kereta Mercedes-Benz S300L.

“Berdasarkan perbezaan antara harga asal iaitu RM657,218 dengan harga selepas diskaun sebanyak RM298,263.75, pembelian kereta terbabit dianggap berbaloi kerana kereta Mercedes mampu bertahan lama sebagaimana Mercedes-Benz S320L yang digunakan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sejak 4 September 1995.

“Selain itu, harga pembelian Mercedes-Benz S320L pada 1995 ialah RM271,331.22 yang tidak banyak beza dengan harga baharu sekarang," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah mencabar Guan Eng supaya tidak menggunakan kereta Mercedes-Benz S300L baharu yang dibeli kerajaan negeri bagi kegunaannya untuk membuktikan beliau pemimpin berjiwa rakyat.

Katanya, sebagai pemimpin berjiwa rakyat, Guan Eng harus mengutamakan kepentingan ramai yang kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Mengapa seolah-olah mahu bermewah-mewah dengan membeli kereta yang mahal? Kalau betul berjiwa rakyat, sepatutnya duit yang diperuntukan untuk kereta berkenaan disalurkan kepada perkara-perkara lebih menguntungkan rakyat.

"Sekarang kita mahu tahu, dikatakan kereta itu dibeli kerajaan negeri untuk kegunaan rasmi beliau tetapi siapa sebenarnya kerajaan negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak pula berkata, langkah menukar kereta berkenaan menunjukkan kerajaan di bawah kepemimpinan Guan Eng semakin kehilangan integriti.

Tegasnya, kalau kerajaan negeri merupakan kerajaan yang berintegriti, Guan Eng tidak akan melakukan perkara yang dilihat memberikan kelebihan untuk dirinya.

"Kalau Exco yang lain menggunakan Toyota Camry kenapa Guan Eng tidak?

"Guan Eng sepatutnya lebih memberikan fokus terhadap kedudukan partinya daripada perkara-perkara yang melibatkan imej beliau sebagai Ketua Menteri memandangkan DAP kini berhadapan dengan pelbagai isu," katanya. - Sumber