Wednesday 13 February 2013

DAP bela Islam?

 Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim


'Jangan tertipu agenda DAP bela Islam, Melayu'

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengingatkan orang Melayu dan umat Islam tidak tertipu dengan pembohongan DAP kononnya mahu menjaga kebajikan kumpulan masyarakat tersebut.

Malah, beliau turut membayangkan agama Islam dan orang Melayu di negara ini akan porak-peranda sekiranya diperintah DAP yang tidak pernah menghormati sentimen masyarakat itu.

Menurutnya, perkara itu sudah ditunjukkan pemimpin DAP yang sering memperlekehkan sensitiviti Islam dan orang Melayu selain sering menampilkan dasar yang hanya mementingkan perjuangan kaum Cina.

"Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pernah mencetuskan provokasi terhadap usaha orang Islam mengadakan bantahan terhadap filem Innocence of Muslims, kemudian Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mendesak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Pengerusi DAP, Karpal Singh juga begitu 'biadab' mengarahkan Majlis Ulama Syura Pas mengkaji semula keputusan berhubung kalimah Allah. Mereka membiarkan kita bercakaran antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Hasan Hamzah semalam yang menyifatkan orang Melayu termasuk pemimpin Pas yang menyokong DAP ibarat 'terjun ke gaung' kerana pendirian DAP yang tidak pernah menjunjung dasar-dasar Islam di negara ini.

Dalam masa sama, Tunku Abdul Aziz hairan dengan sikap pemimpin Pas yang sanggup membiarkan hak orang Melayu dan agama Islam dipertikai pihak lain demi mengejar impian untuk berkuasa.

Menurut beliau, pemimpin Pas sepatutnya sedar pihak luar termasuk segelintir pemimpin cauvinis DAP tidak akan memberikan tempat kepada orang Melayu malah tidak akan membantu kelangsungan golongan itu sekiranya berkuasa kelak.

http://utusan.com.my/utusan/Politik/20130213/po_02/Jangan-tertipu-agenda-DAP-bela-Islam-Melayu