Thursday 28 June 2012

Orang Melayu perlu beri UMNO sokongan

Share on :

KUALA LUMPUR 25 Jun - Orang Melayu tidak mempunyai pilihan selain memberi sokongan sepenuhnya kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang bagi memastikan kelangsungan Islam, Melayu serta institusi raja-raja terus terpelihara.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, mereka perlu sedar bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan tiga komponen penting itu kerana jelas perjuangan dua parti berkenaan semakin terpesong.

Beliau berkata, PKR yang kini diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini didapati tidak mampu memikul tanggungjawab itu dan begitu juga dengan Pas kerana impian kedua-duanya adalah untuk ke Putrajaya sahaja.

"Adakah kita boleh bergantung harap kepada PKR yang kini diketuai oleh Anwar ini untuk membela Islam, Melayu dan raja-raja? Begitu juga dengan Pas, adakah parti yang menyokong perkataan Allah digunakan oleh orang Kristian ini kita boleh bergantung harap untuk membela Islam, Melayu dan raja-raja?

"Mahu tidak mahu, suka tidak suka kita perlu memberi sokongan kepada UMNO kerana sehingga hari ini parti tersebut berjaya menjalankan tugas memelihara Islam, Melayu dan raja-raja dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah mengenai isu semasa pada kursus kepimpinan Perkasa di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali.

Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, tidak dinafikan UMNO berhadapan dengan masalah dalaman serta mempunyai kelemahan tertentu, tetapi peranannya melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan Islam, Melayu dan raja-raja tidak boleh dinafikan.

"Bagi Perkasa sendiri kita akan terus membantu UMNO untuk berjuang memelihara Islam, Melayu dan raja-raja. Kita akan menjadi pelengkap peranan yang telah dilakukan oleh UMNO," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pilihan raya umum nanti merupakan pilihan raya yang begitu kritikal kepada orang Melayu.

"Kita perlu akui pilihan raya umum akan datang bakal menentukan jatuh bangunnya nasib orang Melayu. Apa yang saya bimbangkan juga adalah mengenai nasib dan masa depan Islam yang tercinta serta institusi raja-raja," katanya lagi.

utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm

No comments:

Post a Comment