Monday 28 May 2012

DAP parti rasis

Share on :

‘Bukti DAP parti rasis’


KUALA LUMPUR 27 Mei - DAP digesa supaya tidak terus memberi harapan palsu kepada masyarakat Cina khususnya yang menjanjikan Perdana Menteri bakal dilantik daripada kalangan orang bukan Melayu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, permainan politik DAP itu sebenarnya tidak bertanggungjawab kepada masyarakat Cina dan juga membuktikan mereka sebuah parti yang rasis.

“Sebelum itu saya mahu DAP jawab, jika pakatan pembangkang menang adakah orang Cina akan dilantik menjadi Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan?

“Ini jelas polemik yang ditimbulkan oleh parti rasis ini yang hanya untuk meraih undi masyarakat Cina walaupun sedar perkara itu tidak mampu dicapai,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Tengahari bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran MCA Wangsa Maju di sini hari ini.

Tegas beliau, DAP yang 99 peratusnya terdiri orang Cina dilihat semakin berubah kerana terlalu gilakan kuasa.

“Sebab itu mereka terpaksa menanggung malu kerana terpaksa berbaik dengan Pas hanya untuk meraih sokongan orang Melayu.

“DAP juga menganggap orang Cina tidak ada pilihan selain mengundi mereka sedangkan, mereka lupa MCA telah lama terbukti berjaya memajukan negara dengan perjuangan bersama Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi," katanya.

Sementara itu, Soi Lek turut menyifatkan parti-parti dalam pembangkang sekarang tidak lagi demokratik berbanding BN.

“Lihat DAP yang Lim Kit Siang memegang jawatan penasihat dan anaknya, Lim Guan Eng pula menjadi Setiausaha Agung yang tidak perlu bertanding untuk mendapat jawatan itu, ia samalah seperti jawatan Presiden dan Mursyidul Am dalam Pas.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) paling hebat, mesyuarat tertinggi parti boleh diadakan di dalam rumah sahaja sebab parti itu diketuai oleh keluarga dengan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan anaknya pula Naib Presiden, Nurul Izzah," katanya sinis.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm


DAP lakukan apa sahaja hapus keistimewaan Melayu


JASIN 27 Mei - Orang Melayu perlu sedar DAP sanggup berbuat apa sahaja untuk melenyapkan hak kaum Melayu di negara ini termasuk menyekat kuasa rakan sekutunya, Pas jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya hal itu berlaku segala undang-undang yang memelihara kepentingan orang Melayu termasuk Perkara 153 Perlembagaan akan dihapuskan.

Pada ketika itu menurut beliau, keamanan yang dinikmati seperti hari ini akan lenyap disebabkan negara menjadi tidak stabil dan rakyat hilang perasaan saling menghormati antara kaum.

“Perkara ini tidak mustahil berlaku sebab dalam pembangkang pun tidak ada persefahaman berhubung siapa yang akan menjadi pemimpin negara jika mereka berkuasa.

“Atas sebab itu kita lihat Pas tidak berani menamakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri dan DAP pun sudah menegaskan tidak akan terima sebab Pas adalah parti Islam," katanya ketika berucap pada majlis ceramah di Felcra Lembang Kesang, di sini malam tadi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm


Karpal tidak hormati sentimen rakyat


KUALA LUMPUR 27 Mei - Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) mengecam kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu berjuang memastikan jawatan Perdana Menteri disandang oleh orang bukan Melayu.

Ahli Kehormatnya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kenyataan berbau perkauman yang dikeluarkan jelas menunjukkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut tidak menghormati sentimen masyarakat majoriti di negara ini.

''Permas yang dianggotai 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebulat suara mengutuk dakwaan Karpal. Sangat jelas beliau tidak memahami sejarah kewujudan sebuah negara bangsa Malaysia.

"Melihat dari sudut sejarah, kesemua enam Perdana Menteri setakat ini yang merupakan orang Melayu tidak pernah mengabaikan hak kaum lain kerana jawatan Perdana Menteri bukan mewakili sesuatu kaum tetapi rakyat Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Permas Pertama di sini hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri kira-kira 300 ahli Permas dari seluruh negara tersebut turut bersetuju menggesa Karpal supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berbau perkauman yang boleh menggugat kestabilan serta keamanan negara.

Tambah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, dakwaan tersebut juga jelas tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini kerana pemilihan Perdana Menteri adalah berlandaskan parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya.

"Malah dalam barisan menteri Kabinet terdapat menteri-menteri kanan yang terdiri daripada orang bukan Melayu dan bukan dibolot oleh orang Melayu sahaja," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai kenyataan The Wall Street Journal yang menyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar undang-undang ketika menyertai Bersih 3.0, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, perkara itu terpulang kepada mahkamah kerana pengakuan telah pun dibuat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_10.htm

No comments:

Post a Comment